Assalamualaikum dan salam sejahtera, pada pagi ini saya ingin membicarakan tentang sahabat. Saya percaya semua orang ada kawan, tapi adakah semua orang ada sahabat? Saya mendifinisikan sahabat sebagai teman yang lebih baik dari kawan atau rakan.
Sahabat adalah seorang yang boleh kita kongsi segalanya selain dari keluarga. Sahabat adalah orang yang sanggup bersusah payah, berkongsi masalah, memahami jiwa, dan yang selalu memotivasikan kita walaupun tiada pertalian darah. Berbeza dengan rakan atau kawan yang biasanya hanya menemani kita untuk tempoh kita berada bersamanya.
Mencari sahabat bukanlah mudah, ini kerana bukan semua rakan atau kawan kita boleh jadi sahabat atau teman kita. Seorang sahabat mempunyai ciri-ciri positif untuk diri kita seperti amanah, pandai menyimpan rahsia kita, sanggup menjadi pendengar yang baik, yang memberi kata-kata semangat dan perangsang kepada kita dan yang selalu bersedia membantu kita dalam apa jua situasi tanpa mengeluh atau merungut.
Di dalam kehidupan bermasyarakat ini, selain dari keluarga, sahabat memainkan peranan penting kerana adakalanya tidak semua perkara kita dapat kongsikan dengan ahli keluarga. Kadangkala kita lebih selesa menceritakan perihal masalah kita kepada sahabat kerana mungkin faktor umur atau maklumbalas yang kita mahu. Sebagai contoh, remaja masa kini lebih selesa membicarakan tentang apa sahaja perkara dengan orang yang bukan ahli keluarga. Jadi mereka mencari seseorang yang boleh mereka percayai untuk berkongsi idea, pendapat, masalah, malah ada yang sanggup berkongsi masalah peribadi yang sangat peribadi.
Jadi, memilih sahabat sangatlah penting kerana kita tidak mahu apa yang kita kongsikan bersama mereka menjadi tatapan atau buah mulut umum. Pilihlah rakan yang betul untuk menjadi sahabat kita supaya kita tidak menyesalinya di kemudian hari. Ingatlah bahawa rakan atau kawanlah yang selalu menikam kita dari belakang kerana kita tidak menjangkakannya.
Sebelum saya mengakhiri nukilan saya ini, saya ingin menyatakan bahawa kini saya telah mempunyai seorang sahabat. walaupun beliau jauh lebih muda, saya rasa amat selesa berbicaranya dengannya. Saya harap dia sedang membaca tulisan saya ini. Akhir kata, jadilah sahabat yang baik kepada sahabat anda, jagalah dan hargailah persahabatan anda. Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata atau melakukan perbuatan yang boleh mengguriskan hati sahabat anda. Jadilah sahabat yang memotivasikan dan positif...
Wednesday, 4 January 2012
SAHABAT
Posted by HATIF at 19:26
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

0 comments:
Post a Comment